Showing posts with label Dugaan Cinta. Show all posts
Showing posts with label Dugaan Cinta. Show all posts

Saturday, December 3, 2011

Dugaan Cinta - Part 4 - Terkilan


                
Vince tiba di London pada pukul 10 malam. Dia segera mendapatkan sebuah teksi untuk pergi ke Hospital Saint James. Perasaan kehilangan seseorang yang penting dalam hidupnya tiba-tiba muncul dalam dirinya. Dia meminta pemandunya supaya memandu dengan lebih laju lagi. Pemandu tersebut menambahkan kelajuan teksinya, seperti yang diminta oleh Vince. Dalam masa 20 minit, Vince tiba di hospital tersebut. Debaran hatinya semakin kuat. Dia terus melangkah masuk ke dalam hospital tersebut, tanpa mempedulikan perasaannya.
                “Excuse me, miss. Do you know where Miss Serene from Malaysia is currently warded?” tanya Vince pada jururawat yang sedang bertugas di kaunter.
                “Hold on for a moment,” balas jururawat tersebut. Dia mengalihkan pandangannya ke sebuah computer di hadapannya. Beberapa kekunci telah ditekannya. Vince pula semakin tidak sabar untuk mendapatkan jawapannya.
                “She is undergoing an operation now. Please wait until it is over,” jawab jururawat, sopan. Jawapan ini tidak seperti yang Vince harapkan. Namun dia lega kerana Serene masih dalam pembedahan. Harapannya masih ada, walaupun tidak setinggi langit.
                “Where is the operating theatre? I would like to wait there,” tanya Vince. Cincin emas yang dibelinya awal pagi tadi digengam kuat.
                “Go straight and turn left on the second block and the operating theatre is…” belum sempat jururawat itu memberikan jawapannya, Vince terus berlari menuju ke sana.
                Ketika dia hampir sampai di luar bilik pembedahan, dia ternampak beberapa orang jururawat sedang menolak sekejur tubuh yang ditutupi kain putih dari hujung kaki hingga ke muka. Tiba-tiba perasaan sayu dan hiba datang menyelebungi tubuhnya. Dia ternampak tag nama yang tergantung pada hujung katil tersebut. Serene namanya. Dengan tangan yang berketar-ketar, dia menarik kain yang menutupi muka tubuh itu. Jururawat tersebut membenarkannya berbuat demikian lalu beredar dari sana. Air mata Vince mula bergenang. Wajah Serene yang kelihatan tenang wujud di depan mata Vince.
                “Tidak! TIDAK! SERENE!” jerit Vince. Dia terus memeluk badan Serene yang tidak bernyawa itu. Air mata terus mengalir di pipi Vince. Setelah beberapa seketika, dia melepaskan pelukannya. Dia telah mengerti bahawa Serene tidak lagi berada di dunia ini. Sebelum dia meninggalkan Serene, dia berbisik di tepi telinga Serene.
                “Saya tetap mencintaimy. Saya tidak aka melupakanmu. Kenangan kita akan menjadi pengabadian dalam hatiku,” bisik Vince. Kemudian, dia menyarungkan cincin emas itu pada jari manis Serene. Beberapa jururawat datang selepas itu dan mereka membawa mayat Serene ke bilik mayat untuk prosedur yang seterusnya. Vince berjalan beberapa langkah ke arah tingkap dan kemudian memandang ke luar. Kesedihan jelas terpapar pada wajahnya.
                “Saya tidak akan melupakanmu, Serene. Saya akan mencari kebahagiaan yang pernah kita tempuhi. Saya akan mencarimu di setiap pelosok dunia ini. Saya akan menemanimu dan membawamu ke serata dunia untuk mencari kebahagiaan yang pernah kita lalui. Saya tidak merelakan pemergianmu, Serene. Percayalah Serene, saya akan mencarimu semula, tidak kira di dunia ini atau di dunia lain,” janji Vince pada Serene. Darah mula mengalir pada tangan kirinya.

Dugaan Cinta - Part 3 -Masih Berharap


                “Dia ada barah otak. Hanya doktor pakar di Hospital Saint James, England yang mampu menjalankan pembedahan ini. Doktor di sini tak dapat buat apa-apa. Walaupun hanya ada sepuluh peratus pembedahan ini berjaya, tetapi dia berkeras ingin menjalankan pembedahan. Dia juga telah menandatangani satu perjanjian di mana jika dia gagal menempuhi dugaan ini, dia akan mendermakan semua organ badannya,” balas ayah Serene. Pada waktu yang sama, ibu Serene telah menangis. Perasaan sedihnya yang disimpan dalam hatinya dilepaskan sahaja. Suaminya cuba menenangkan hati isterinya itu.
                Vince hanya mampu berdiri di sana. Dia tidak mampu lagi untuk berkata apa-apa. Mulutnya bagai terkunci. Dia juga tidak menyangka bahawa kekasihnya itu mempunyai penyakit sebegitu. Lebih menghairankannya, Serene tidak pernah memberitahunya apa-apa tentang penyakitnya itu.
                “Pak…pak cik, sejak…sejak bila Serene mula…mula menghidapi barah…barah ini?” tanya Vince. Kata-katanya itu lemah dan bagaikan tidak bermaya.
                “Enam bulan yang lalu. Dia sayangkan awak, Vince. Oleh itu, dia rela merahsiakannya daripada melihat awak bersusah-payah melakukan apa-apa sahaja deminya,” balas ayah Serene.
                Kini Vince sedar akan kebenaran itu. Dia kini sedar mengapa Serene sering kali berulang-alik dari hospital sejak lima bulan ini. Dia berasa menyesal kerana tidak pernah menanya Serene tujuannya berbuat demikian. Dia juga sedar betapa Serene mencintainya. Dia mengeluarkan cincin emas yang baru dibelinya pagi dan melihatnya. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke luar. Kelihatan sebuah kapal terbang yang telah terbang jauh dari tempat dia memandang. Tanpa disedari, air mata telah membasahi pipinya.
                “Baiklah. Serene mungkin telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Kita haruslah menghadapi realiti ini dan bukannya realiti yang mengawal hidup kita. Tabahkanlah dirimu, Vince. Jika Serene tidak berjaya melepasi dugaan ini maka lebih baik kamu melupakannya sahaja,” kata ayah Serene sambil menepuk bahu Vince sebelum meninggalkannya dan memimpin isterinya keluar dari lapangan terbang ini. Vince hanya mampu memandang ibu bapa Serene beredar dari lapangan terbang tersebut tanpa berkata apa-apa.
                “Oh, tidak! Serene masih belum meninggalkan saya lagi. Dia hanya berada dalam perjalanan ke England. Saya masih sempat mencari dia jika saya mengikut penerbangan yang seterusnya. Ya, inilah satu-satunya pilihan yang saya ada,” kata Vince pada dirinya. Dia segera bergerak ke kaunter dan membeli tiket penerbangan ke England yang seterusnya. Walaupun penerbangan seterusnya ke England adalah tiga jam kemudian namun dia rela menunggu. Dia tidak rela kehilangan orang yang dicintainya tanpa mendapat jawapan yang dia inginkan.
                Tiga jam berlalu dengan pantas sekali. Kini, Vince berada dalam kapal terbang yang bakal berlepas ke England. Walaupun dia sering kali menaiki kapal terbang ke banyak destinasi untuk menjalankan urus niada tetapi kali ini hatinya sungguh tidak selesa. Namun dia tidak mempedulikannya. Setelah sekian lama menunggu, kapal terbang yang dinaikinya pun berlepas ke England. Sepanjang perjalanannya, dia berdoa agar dia masih sempat untuk berjumpa dengan Serene sebelum pembedahannya. Dia juga berdoa agar Serene berjaya mengharungi pembedahan yang penuh dengan risiko ini jika dia tidak sempat mencarinya di sana.

Sunday, August 28, 2011

Dugaan Cinta - Part 2 - Terlambat Selangkah

Win teringat semula saat-saat ketika mereka berada di sekolah menengah. Mereka sering kali menjadi bahan ejekan rakan-rakan sekelasnya. Malah, ada juga rakan yang cemburu dan iri hati cuba memisahkan mereka berdua. Pelbagai usaha yang telah dilakukan tetapi mereka berdua percaya antara satu sama lain. Mereka tidak pernah melayan fitnah yang dilemparkan. Malah hubungan mereka berdua bertambah akrab dan menjadi lebih baik.
Suatu hari, Serene menangis datang mencari Win. Serene memberitahu bahawa dia terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke luar negeri. Hati Win ketika itu bagaikan kaca terhempas ke lantai. Dia hamper mengalirkan air matanya tetapi cuba tabahkan dirinya. Tanpa diduga, pada hari Serene dan keluarganya ingin berpindah keluar, ayahnya menerima panggilan mengatakan bahawa rancangan mereka untuk berpindah terpaksa dibatalkan. Ayahnya tidak jadi untuk berpindah ke syarikat barunya. Syarikat tersebut diambil alih oleh syarikat yang lain. Win berasa sangat gembira.
Pada hari jadi Serene yang ke-18, Win memberanikan diri untuk membuat sesuatu yang mungkin mengubah hidupnya. Dia telah menyembunyikan perasaannya itu selama beberapa tahun. Pada malam itu, dia telah meluahkan perasaan cintanya pada Serene. Dia juga tidak menyangka Serene juga menyembunyikan perasaannya terhadap Win. Hubungan mereka berlanjutan selama 8 tahun. Kini, Win dan Serene mempunyai kerjaya masing-masing.
Win pergi ke sebuah kedai emas pada pagi ini. Dia telah membeli sebentuk cincin emas untuk melamar Serene. Sejambak bunga ros merah telah dibelinya. Win masih ingat lagi. Hari ini merupakan ulang tahun mereka bertemu kira-kira 23 tahun yang lalu. Hatinya riang ketika dia sedang memandu menuju ke rumah Serene. Setibanya dia di rumahnya, dia menerima sepucuk surat daripada jirannya. Tanda tanya telah wujud di kepalanya apabila mendapati Serenelah yang menulisnya. Setelah membacanya, Win terus memandu keretanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Jam telah menunjukkan pukul 1 tengah hari. Win segera meletakkan keretanya di tempat meletak kereta. Dia berlari dengan pantas menuju ke pintu masuk lapangan terbang tersebut. Debaran hatinya semakin kuat dan dia dapat merasai suatu kehilangan pada dirinya apabila dia semakin menghampiri pintu masuk tersebut. Dia berasa gembira sedikit apabila melihat ibu bapa Serene berada kira-kira 10 meter di hadapannya sahaja. Dia segera berlari mendapatkan mereka.
“Pak cik, mak cik, mana Serene?” kata Win, tercungap-cungap. Dia mengharapkan jawapan yang bakal diberikan tidak mengecewakannya.
“Serene baru sahaja berlepas ke England,” balas ayah Serene. Terbayang perasaan sedih yang dialaminya.
“Pak cik, janganlah bergurau dengan saya pada masa ini,” kata Win. Satu senyuman terukir pada wajahnya, senyuman yang cuba menenangkan dirinya. Ayah Serene hanya memandang ke bawah. Dia tidak dapat berkata lagi. Win mula mengerti maksudnya itu.
“Tapi pak cik, apa penyakit Serene? Mengapakah pergi ke Englah untuk menjalani pembedahan? Tak bolehkah dilakukan di sini? Mengapa dia harus merahsiakannya daripada saya?” tanya Win. Air matanya hampir menitis.

Thursday, August 25, 2011

Dugaan Cinta - Part 1 - Imbas Kembali

Sayangku Win,

Aku tidak ingin kau bersamaku untuk menunggu saat-saat pemergianku ke dunia lain. Aku rasa aku telah banyak berhutang padamu. Aku tidak ingin kau melihat aku pergi. Aku tidak rela melihat wajahmu sedih. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan di England tanpa pengetahuanmu. Aku mungkin tidak terselamat dalam pembedahan yang berbahaya ini. Aku tidak meninggalkan apa-apa buatmu. Hanya kenangan manis saat kita bersama aku tinggalkan buatmu serta akan aku abadikan bersamaku buat selama-lamanya. Demiku, janganlah kau bersedih. Lupakan aku dan mulakan hidupmu yang baru. Demiku, hargailah dirimu dan jangan sesekali kau datang mencariku di England. Win, kaulah orang yang kucintai buat selama-lamanya. Selamat tinggal, Win. Maafkan aku kerana pemergianku ini tidak diberitahu terlebih dahulu.

Sayanmu Serene.

Setelah membaca surat itu, Win terus berkejar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kapal terbang yang akan berangkat ke England seterusnya akan berlepas pada pukul 1 tengah hari. Jam tangannya menunjukkan pukul 10 pagi. Perjalanan dari Tapah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mungkin mengambil masa kira-kira 3 jam jika dia memecut ke sana, fikirnya. Sepanjang perjalanannya, dia hanya berharap sempat tiba di lapangan terbang sebelum Serene berlepas ke England. Dia tidak faham mengapa Serene tidak memberitahunya perkara ini terlebih dahulu. Kereta yang dipandunya kini mencapai kelajuan 140 km/j. Fikirannya terganggu dengan pelbagai soalan yang ingin dicurahkan kepada Serene.

Win teringat semula saat-saat manis ketika mereka bersama. Mereka merupakan jiran yang sudah lama tinggal bersama, iaitu sejak berumur 3 tahun di Taman Pasangan. Mereka sering bermain di pondok permainan yang terletak di hadapan rumah mereka. Pernah sekali dia dikejar seekor anjing dan digigitnya, Serenelah yang memujuknya. Dialah yang merawat luka gigitan itu dengan sapu tangan kegemarannya. Sapu tangan itu masih disimpan Win sehingga kini dan masih berada dalam keadaan yang baik dan bersih.

Siapa yang dapat menyangka mereka berdua juga bersekolah di sebuah sekolah yang sama sehingga kini. Win teringat sesuatu semula. Dia pernah dihukum oleh banyak guru kerana sering kali berbual dengan Serene dalam kelas. Pernah sekali dia ditangkap kerana membenarkan Serene meniru semasa ujian pada darjah 4. Guru besar sangat marah lalu merotannya sebanyak 5 kali namun bagi Win, semua ini adalah berbaloi. Pada hari itu juga, Serene datang mencari Win di rumahnya. Mereka telah berbual panjang.

Tanpa disedari, air mata Win mengalir. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu menelefon Serene tetapi telefonnya sudah dipadamkan. Hatinya berdebar. Pantas sekali. Dia takut akan kehilangan Serene buat selama-lamanya. Win melihat jam tangan yang sedang menunjukkan pukul 11.30 pagi. Win kini berada dalam separuh perjalanan dan mempunyai satu jam tiga puluh minit lagi sebelum kapal terbang yang dinaiki Serene berlepas. Tanpa berfikir panjang, dia terus memecutkan keretanya. Kini kereta yang dipandunya itu telah mencapai kelajuan 170 km/j.