Thursday, August 25, 2011

Dugaan Cinta - Part 1 - Imbas Kembali

Sayangku Win,

Aku tidak ingin kau bersamaku untuk menunggu saat-saat pemergianku ke dunia lain. Aku rasa aku telah banyak berhutang padamu. Aku tidak ingin kau melihat aku pergi. Aku tidak rela melihat wajahmu sedih. Oleh itu, aku mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan di England tanpa pengetahuanmu. Aku mungkin tidak terselamat dalam pembedahan yang berbahaya ini. Aku tidak meninggalkan apa-apa buatmu. Hanya kenangan manis saat kita bersama aku tinggalkan buatmu serta akan aku abadikan bersamaku buat selama-lamanya. Demiku, janganlah kau bersedih. Lupakan aku dan mulakan hidupmu yang baru. Demiku, hargailah dirimu dan jangan sesekali kau datang mencariku di England. Win, kaulah orang yang kucintai buat selama-lamanya. Selamat tinggal, Win. Maafkan aku kerana pemergianku ini tidak diberitahu terlebih dahulu.

Sayanmu Serene.

Setelah membaca surat itu, Win terus berkejar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kapal terbang yang akan berangkat ke England seterusnya akan berlepas pada pukul 1 tengah hari. Jam tangannya menunjukkan pukul 10 pagi. Perjalanan dari Tapah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mungkin mengambil masa kira-kira 3 jam jika dia memecut ke sana, fikirnya. Sepanjang perjalanannya, dia hanya berharap sempat tiba di lapangan terbang sebelum Serene berlepas ke England. Dia tidak faham mengapa Serene tidak memberitahunya perkara ini terlebih dahulu. Kereta yang dipandunya kini mencapai kelajuan 140 km/j. Fikirannya terganggu dengan pelbagai soalan yang ingin dicurahkan kepada Serene.

Win teringat semula saat-saat manis ketika mereka bersama. Mereka merupakan jiran yang sudah lama tinggal bersama, iaitu sejak berumur 3 tahun di Taman Pasangan. Mereka sering bermain di pondok permainan yang terletak di hadapan rumah mereka. Pernah sekali dia dikejar seekor anjing dan digigitnya, Serenelah yang memujuknya. Dialah yang merawat luka gigitan itu dengan sapu tangan kegemarannya. Sapu tangan itu masih disimpan Win sehingga kini dan masih berada dalam keadaan yang baik dan bersih.

Siapa yang dapat menyangka mereka berdua juga bersekolah di sebuah sekolah yang sama sehingga kini. Win teringat sesuatu semula. Dia pernah dihukum oleh banyak guru kerana sering kali berbual dengan Serene dalam kelas. Pernah sekali dia ditangkap kerana membenarkan Serene meniru semasa ujian pada darjah 4. Guru besar sangat marah lalu merotannya sebanyak 5 kali namun bagi Win, semua ini adalah berbaloi. Pada hari itu juga, Serene datang mencari Win di rumahnya. Mereka telah berbual panjang.

Tanpa disedari, air mata Win mengalir. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu menelefon Serene tetapi telefonnya sudah dipadamkan. Hatinya berdebar. Pantas sekali. Dia takut akan kehilangan Serene buat selama-lamanya. Win melihat jam tangan yang sedang menunjukkan pukul 11.30 pagi. Win kini berada dalam separuh perjalanan dan mempunyai satu jam tiga puluh minit lagi sebelum kapal terbang yang dinaiki Serene berlepas. Tanpa berfikir panjang, dia terus memecutkan keretanya. Kini kereta yang dipandunya itu telah mencapai kelajuan 170 km/j.

Pihak Ketiga - Part 2 - Penyelesaian

Angin bayu bertiup lembut. Bunyi ombak cukup mengasyikkan, memukul butiran pasir di tebing pantai, seperti membentuk suatu melodi yang merdu dan menenangkan hati yang krunsingan. Sekawan burung lelayang pula berterbangan bebas di langit. Tetapi, sekarang bukan masa bagiku untuk bersuka ria mahupun menikmati pagi yang indah ini. Aku memandang terus ke depan, laut yang terbentang luas. Laut yang kelihatan tiada penghujungnya, aku mengharapkan hubungan aku dan Apple juga begitu pada awalnya. Pantai inilah yang menjadi tempat luahan cintaku pada Apple. Pantai ini juga menjadi tempat Apple menerima aku dalam hidupnya. Namun, pantai ini juga menjadi tempat terakhir kunjungan kami berdua. Aku tidak pasti jika kami akan bertemu lagi pada masa kelak. Apakah dayaku jika kaca sudah terhempas, hancur dan berkecai.

Selama ini aku dambakannya, ingin bersama dengannya menghitung hari, tetapi pada hari ini, kecurangan menghancurkan segalanya. Harapan. Kepercayaan. Tangan Apple bergerak perlahan, menyentuh hujung jariku. Tetapi, aku hanya sekadar mengelak sentuhannya.

“Mungkin selama ini awak ada sesuatu yang disimpan dalam hati tetapi awak tidak sanggup untuk meluahkannya, sekaranglah masanya. Jika awak rasa kami tidak serasi, beritahu saya sahaja. Saya tak nak memaksa awak. Saya pun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” kataku padanya. Mataku memandang tajam pada matanya. Apple tidak terkata, dia hanya memandang aku, seperti bagaimana aku memandangnya sekarang. Mungkin kata-kata yang ingin diluahkan tidak kesampaian. Barangkali kata-kataku menusuk tepat pada hatinya.

“Baiklah, saya sudah faham. Biar saya hantar awak balik,” aku berpaling, dan berjalan menuju ke arah kereta Kancilku. Mungkin tindakan aku ini melukakan hatinya, namun apakah dayaku untuk mengubah segalanya. Pendirian hendaklah ditegaskan. Jika pendirianku bergoyah, akulah orang yang terluka hatinya kelak. Namun aku tidak pernah menyangka, aku akan mengalami kesudahan seperti ini. Kini, kereta ini bergerak, mengikut jalan yang digunakan tadi, cuma arah yang bertentangan. Sekali lagi, suasana sunyi menjadi pengisi masa. Aku tidak tahu apa yang patut aku katakan, mungkin situasi yang sama melanda Apple. Tanpa disedari, masa telah mencuri segalanya. Kereta aku kini berhenti di depan rumah banglo Apple.

“Apple...entahlah, saya pun tidak tahu hendak bermula dari mana, tetapi apabila sampai ke situasi seperti ini, saya rasa saya terpaksa berterus-terang dengan awak. Saya mengaku saya sudah jatuh cinta dengan awak ketika kita bertemu buat kali pertama. Tetapi semakin lama saya mengenali awak, semakin saya sedar bahawa kita berdua adalah manusia dari dunia yang berbeza. Saya rasa saya perlu menyusun memoriku supaya saya jelas tentang apa yang saya inginkan sebenarnya dan hal ini mungkin mengambil masa yang panjang,” kataku padanya. Aku sendiri tidak pasti dari manakah aku mendapat keberanian untuk mengeluarkan kata-kata ini.

“Cukup, jangan cakap lagi, kita berbincang pada hari yang lain. Awak tidak perlu menghantar saya masuk,” celahnya sebelumku sempat menghabiskan kata-kataku. Tegar kata-katanya. Apple langsung tidak berpaling ke arahku ketika melangkah masuk ke dalam laman rumahnya. Beginikah kesudahannya? Beginikah pengakhirannya? Aku hanya dapat memandangnya dari dalam kereta ini. Dari sini, aku dapat melihat seorang lelaki sedang berdiri di depan pintu rumahnya. Ya, dialah lelaki yang berambut panjang tersebut! Apple menoleh ke arahku, seolah-olah ingin segera mendapatkanku, menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Pihak Ketiga - Part 1 - Persoalan

Aku rasa kepercayaan diriku terhadap dirinya semakin hari semakin menipis. Dalam tempoh tiga bulan kami bersama, aku tidak pasti jika aku betul-betul sudah mengenali dirinya. Aku gagal untuk mencari dirinya yang sebenarnya. Sekurang-kurangnya diriku mengetahui fakta ini lebih jelas daripada orang lain. Malah, semakin aku cuba untuk memahami dirinya, semakin bersarang rasa curiga dalam sanubari. Mungkin aku sendiri yang sibuk bekerja sehingga tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu janji dengannya. Jarak antara kami bagai semakin jauh sehari demi sehari. Selama ini, panggilan telefon dan SMS-lah yang menjadi jambatan komunikasi di saban hari.

Kebelakangan ini, kawan-kawan aku asyik memberitahu aku Apple selalu keluar dengan seorang lelaki yang berambut panjang. Aku menenteramkan hatiku, kawan lama dia jawapan yang kuberi untuk menyejukkan hati yang panas berbara setiap kali kawan-kawan berkata demikian. Namun jawapan yang seteguh dinding juga runtuh akhirnya. Pada hari itu, aku terserempak Apple bersama dengan lelaki tersebut. Malah mereka kelihatan seperti pasangan, bagai pinang dibelah dua. Hati aku bergoncang. Hal ini jelas memberitahu aku wujudnya pihak ketiga dalam hubungan kami.

Aku bukan seorang yang bacul. Aku juga bukannya orang yang sanggup membiarkan sesuatu keadaan berlarutan dan akhirnya melukakan diriku suatu hari nanti. Puas aku mencari jalan penyelesaian yang terbaik, namun berpisah tetap jawapan yang terbaik yang aku mampu carikan. Akhirnya, aku mengambil keputusan yang tersebut. Aku mengajaknya keluar, membawanya ke sebuah tempat yang memulakan sebuah kisah baru dalam hidupku.

“Eh, Win! Awak kata ada sesuatu yang penting nak beritahu saya, mengapa awak diam saja sejak tadi?” tegur Apple. Kereta Kancil berwarna putih yang dipandu oleh aku dihentikan sebatang tiang yang menunjukkan warna merah. Lampu isyarat inilah yang memulakan perbualan kami setelah sekian lama tidak bersua.

“Kita hanya berpeluang untuk berjumpa seminggu sekali, kalau tak nak macam itu boleh tak?” tanyaku. Aku hanya tersenyum dalam hatiku. Bagi diriku, jangan kata berjumpa sebulan sekali, kalau terus tidak berhubung juga tidak bermasalah apatah lagi kini Apple sudah mempunyai lelaki yang boleh menemannya, yang boleh menggantikan diriku ini pada bila-bila masa sahaja.

“Awak faham maksud ….”

“Ah! Lampu hijau!” Apple mencelah. Seolah-oleh dia sedang cuba untuk mengelak soalan aku. Aku pun menekan minyak dan memecutkan keretaku menuju ke destinasi aku. Pelbagai persoalan sedang bermain di dalam kepalaku. Riak mukanya, sikapnya yang dingin, seperti cuba menyakinkan tindakan yang bakal diambilku adalah tepat. Ya! Aku sudah mengambil keputusan. Tiada lagi keraguan. Tiada lagi kebimbangan. Aku juga tidak perlu membazirkan masa untuk berbincang dengannya tentang hal ini. Perbincangan sedemikian hanya akan menyakitkan hati. Kedua-dua pihak juga tidak akan mendapat manfaat.

Kereta Kancil ini terus menuju ke sebuah lokasi yang menyatukan mereka berdua pada tiga bulan yang lalu. Sepanjang perjalanan, kami berdua hanya mendiamkan diri. Hanya bunyi-bunyi kenderaan yang lain yang menjadi irama kesunyian dalam keretaku. Selepas seketika, kami pun tiba di destinasi tersebut. Enjin kereta dimatikan. Aku mula melangkah keluar dari kereta ini, Apple juga mengikut.

Kesudahan yang Menyedihkan - Part 1 - Takdir

“Baik, masa dah tamat! Berhenti menulis sekarang,” kata Cikgu Ranjit. Semua pelajar SMK Pantai Cahaya hanya menurut arahannya. Mereka sedar, membantah arahannya adalah sia-sia sahaja. Cikgu Ranjit bersama beberapa orang guru berjalan mengelilingi dewan sekolah untuk mengutip kertas jawapan Matematik Tulen yang baru sahaja dijawab semua pelajar, barangkali bukan semuanya.

“Baiklah, terima kasih atas kerjasama pelajar sekalian. Jadi sampai sini sahajalah Ujian Percubaan STPM kamu. Kamu boleh beredar dari dewan peperiksaan ini sekarang,” kata beliau, sambil mengumpulkan kertas jawapan yang dikutip oleh guru lain. Semua pelajar mula mengerakkan badan masing-masing dan beredar. Ada yang tersenyum riang; ada yang bermasam muka; ada yang selamba sahaja. Namun aku sedar. Peperangan baru sahaja bermula. Kira-kira dua bulan dari sekarang, musuh yang lebih kuat akan menyerang semua pelajar tingkatan 6 di seluruh Malaysia. Berusaha dan memenangi peperangan yang bakal menentukan nasib masa hadapan atau mengalah dan biar Tuhan yang menentukan hala tuju masa hadapan; semuanya terletak pada tangan masing-masing.

“Hei, Win! Macam mana? Senang kan?” tanya Jonathan, kawan karibku semenjak kecil lagi. Dia lebih selesa jika dipanggil dengan nama John; singkat dan mudah. Mukanya masih berpeluh, mungkin kerana tahap kesukaran ujian tadi betul-betul menguji kemampuannya. Menyusuli di belakang John ialah Jes dan Ric.

“Tak susah sangat, juga tak senang sangat,” usikku. Aku tahu, Matematik Tulen merupakan mata pelajaran yang sukar untuk John. Begitu juga dengan Jes dan Ric. Aku sering kali member tunjuk ajar kepada mereka, terutamanya Jes. Aku pun tidak tahu mengapa aku berasa selesa setiap kali bersamanya. Perasaan itu sukar dijelaskan dengan kata-kata.

“Janganlah peril John macam tu. Tak baik. Jadi, Win, apa rancangan kamu sekarang? Nak pergi makan bersama-sama?” tanya Jes. Suaranya manis, seakan-akan si anak kecil meminta kasih daripada ibunya. Kalau ikutkan kata hati, aku ingin memberikan jawapan yang positif namun aku terpaksa menolak ajakannya. Aku terpaksa pulang ke rumah dengan segera. Ibuku sudah tentu sedang menunggu kepulanganku sekarang. Pagi tadi, aku telah berjanji untuk membantunya menjual kuih-muih di Kampung Cahaya. Aku harus cuba meringankan beban ibuku yang terpaksa bekerja keras mencari nafkah hidup selepas pemergian ayahku sepuluh tahun yang lalu.

“Maaflah, saya kena balik sekarang. Nak bantu ibu jual kuih di kampung jiran,” balasku. Wajah kawan-kawanku mengukirkan ayat kekecewaan. Namun apakah dayaku. Selaku anak sulung, sudah menjadi tanggungjawabku terhadap keluarga. Selepas mengucapkan selamat tinggal, aku beredar menuju ke bangsal basikal, mendapatkan basikal usangku. Tubuhnya sudah dihuni karat, namun itulah hakikatnya; aku tidak mampu membeli basikal yang baru. Aku mula mengayuhnya, perlahan-lahan, seperti saban hari yang aku lalui. Tidak pernah aku mengadu tentangnya yang sudah terukir sebagai suratan takdir. Namun cuaca hari ini yang mendung menyelesakan perjalananku. Alangkah baiknya jika setiap hari pun begitu. Masa bersilih ganti, tanpa disedari, aku sampai ke rumah setingganku. Ibu kini sudah menanti di pintu rumah, risau rasanya.

“Eh, lambatnya hari ini,” katanya. Percakapannya yang laju jelas menunjukkan ibu sedang risau tentang diriku. Entahlah, barangkali kerana baru-baru ini, berlaku banyak kemalangan di sekitar kawasan ini.

“Tak adalah, cuma berbual sebentar dengan kawan di sekolah,” balasku. Selepas menjamah makanan tengah hari, aku mengambil sebuah bakul rotan yang penuh dengan kuih-muih beraneka jenis. Semuanya untuk dijual di kampung jiran. Sekali lagi, aku menunggang basikal using yang telah menjadi teman sedekad lamanya untuk menambah sedikit pendapatan ibuku. Pernah aku fikir untuk berhenti bersekolah, namun niat ini aku matikan dalam hati.

Seperti hari yang biasa, aku menggunakan jalan yang sama menuju ke destinasiku. Namun hari ini agak istimewa. Aku bertemu dengan Cikgu Ranjit dan kami berbual sebentar. Tidak pernah kusangka, Cikgu Ranjit memuji sikapku ini. Terasa bangga hatiku.

Tetapi entah mengapa, secara tiba-tiba kepalaku mula berasa pening. Badanku terasa lemah. Penglihatanku mulai kabur. Namaku dipanggil beberapa kali oleh cikgu namun suaranya semakin kurang jelas. Akibatnya, tubuhku jatuh ke muka Bumi. Aku pengsan.