Aku
membuka kedua-dua mataku, perlahan-lahan. Seluruh badanku terasa lemah,
bagaikan tiada tenaga. Aku menoleh ke arah kananku, kelihatan seorang wanita
duduk tertidur sambil memegang tanganku, erat. Ya, dialah ibuku. Aku pasti, amat
pasti.
“I..I..bu..”panggilku,
namun suaraku masih lemah dan tidak kuat. Ibu tersentak, terjaga daripada
tidurnya lalu memandang ke arah wajahku yang masih lagi pucat. Wajahnya riang,
meluru keluar dan memanggil doktor. Maafkanlah aku, ibu. Aku telah membuat awak
risau tentang diriku. Tanpa disedari, aku telah terlantar di atas katil
hospital hampir empat bulan lamanya. Tempoh yang amat lama. Tempoh yang
menyeksa ibuku selama ini. Tetapi hari ini, aku gembira. Aku baru sahaja
menamatkan kesengsaraan ibuku yang tercinta ini. Ibuku memberitahuku, esok adalah hari jadiku, juga
merupakan hari untuk semua orang mengambil slip keputusan STPM. Ingin juga aku
mengambilnya sendiri, tetapi keadaan aku kini tidak mengizinkannya.
Sepanjang
hari ini, aku ditemani ibu dan adik-adikku. Aku hanya dapat mendengar cerita
mereka, peristiwa yang mengambil tempat selama ini. Aku tersenyum. Syukurlah,
semuanya masih belum berubah. Tiba-tiba kepalaku terasa amat sakit. Aku ingin
menjerit, namun tiada kata-kata yang keluar dari mulutku. Cecair yang berwarna
merah mula mengaliri kepalaku. Manusia yang menemani aku tadi menjerit
ketakutan. Ibuku segera mendapatkan doktor. Entah apa yang sedang berlaku.
Namun, kesakitan yang menggigit kepalaku tidak dapat aku tanggung lagi. Aku pengsan.
Matahari
sudah menjelma, aku pun bangun daripada tidur semalam. Ganjil, kali ini aku
dapat bergerak bebas. Aku tersenyum riang. Tanpa membuang masa, aku meluru
keluar, mendapatkan ibuku untuk memberitahu berita baik ini. Sebaik sahaja aku
melangkah keluar dari pintu wad, aku dapat melihat ibu dan adikku terduduk di
atas bangku, menangis. Hairan. Aku segera mendapatkan mereka, berlari meluru ke
arahnya. Sebelum aku berjaya, Cikgu Ranjit bersama tiga orang pelajar yang lain
mendapatkan mereka terlebih dahulu. John, Ric dan Jes rupanya. Mereka pasti
datang untuk menumpang berita baik aku ini, fikirku.
“Tahniah,
puan! Win dapat keputusan yang terbaik, 10 terbaik dalam negara, 4A!” kata
Cikgu Ranjit, tercungap-cungap. Aku tersenyum, usahaku selama ini telah
membuahkan hasilnya dan tidak mengecewakan manusia yang meletakkan harapan
masing-masing di atas bahuku. Aku mula berjalan perlahan, tidak lagi berlari.
Aku berharap mereka tersedar akan kehadiranku lalu mendekapku. Tiba-tiba,
sekumpulan jururawat memintas jalanku. Mereka menolak sekejur tubuh yang
diliputi kain putih. Doktor datang menghampiri ibuku.
“Maafkan
kami, puan. Kami sudah buat yang terbaik namun Tuhan yang lebih menyayanginya,”
kata doktor. Air mata mula berlinangan di pipi setiap manusia yang aku kenali
di situ. Kain putih itu ditarik. Aku tersentak. Wajahnya seiras dengan wajahku,
tiada perbezaan.
Aku
tersenyum. Kini aku mengerti. Rupanya, aku sudah tewas dalam peperangan ini.
Tuhan telah memberi aku hadiah hari jadi aku semalam, untuk melihat dunia buat
kali terakhir, untuk melihat wajah orang yang aku kasihi. Kini semua insan di
hadapan mataku menangis dan memeluk tubuh yang tidak bernyawa itu,
menjerit-jerit namaku. Hatiku sayu, pedih. Aku ingin bersuara, namun tiada
orang yang mampu mendengarnya.
Aku
berjalan, beredar dari tempat tersebut. Aku sedar, aku tidak lagi dimiliki
dunia ini. Aku ingin menoleh dan melihat wajah manusia yang sedang menangis
kesedihan, namun aku batalkan niat ini sahaja. Berat rasa hatiku ini. Tidak
sampai hati untuk aku melepaskan segala-galanya di sini. Segala yang kutempuhi
selama ini. Segala yang kuusahakan selama ini. Semuanya sia-sia sahaja? Ataupun
sekurang-kurangnya membuahkan sedikit hasil yang boleh mengubati rasa duka cita
semua orang? Adakah kesudahan seperti ini yang patut aku lalui? Ataupun Tuhan
telah membuat satu kesilapan yang besar? Tiada sesiapa pun yang mampu
memberikan jawapannya.
No comments:
Post a Comment