“Baik, masa dah tamat! Berhenti menulis sekarang,” kata Cikgu Ranjit. Semua pelajar SMK Pantai Cahaya hanya menurut arahannya. Mereka sedar, membantah arahannya adalah sia-sia sahaja. Cikgu Ranjit bersama beberapa orang guru berjalan mengelilingi dewan sekolah untuk mengutip kertas jawapan Matematik Tulen yang baru sahaja dijawab semua pelajar, barangkali bukan semuanya.
“Baiklah, terima kasih atas kerjasama pelajar sekalian. Jadi sampai sini sahajalah Ujian Percubaan STPM kamu. Kamu boleh beredar dari dewan peperiksaan ini sekarang,” kata beliau, sambil mengumpulkan kertas jawapan yang dikutip oleh guru lain. Semua pelajar mula mengerakkan badan masing-masing dan beredar. Ada yang tersenyum riang; ada yang bermasam muka; ada yang selamba sahaja. Namun aku sedar. Peperangan baru sahaja bermula. Kira-kira dua bulan dari sekarang, musuh yang lebih kuat akan menyerang semua pelajar tingkatan 6 di seluruh Malaysia. Berusaha dan memenangi peperangan yang bakal menentukan nasib masa hadapan atau mengalah dan biar Tuhan yang menentukan hala tuju masa hadapan; semuanya terletak pada tangan masing-masing.
“Hei, Win! Macam mana? Senang kan?” tanya Jonathan, kawan karibku semenjak kecil lagi. Dia lebih selesa jika dipanggil dengan nama John; singkat dan mudah. Mukanya masih berpeluh, mungkin kerana tahap kesukaran ujian tadi betul-betul menguji kemampuannya. Menyusuli di belakang John ialah Jes dan Ric.
“Tak susah sangat, juga tak senang sangat,” usikku. Aku tahu, Matematik Tulen merupakan mata pelajaran yang sukar untuk John. Begitu juga dengan Jes dan Ric. Aku sering kali member tunjuk ajar kepada mereka, terutamanya Jes. Aku pun tidak tahu mengapa aku berasa selesa setiap kali bersamanya. Perasaan itu sukar dijelaskan dengan kata-kata.
“Janganlah peril John macam tu. Tak baik. Jadi, Win, apa rancangan kamu sekarang? Nak pergi makan bersama-sama?” tanya Jes. Suaranya manis, seakan-akan si anak kecil meminta kasih daripada ibunya. Kalau ikutkan kata hati, aku ingin memberikan jawapan yang positif namun aku terpaksa menolak ajakannya. Aku terpaksa pulang ke rumah dengan segera. Ibuku sudah tentu sedang menunggu kepulanganku sekarang. Pagi tadi, aku telah berjanji untuk membantunya menjual kuih-muih di Kampung Cahaya. Aku harus cuba meringankan beban ibuku yang terpaksa bekerja keras mencari nafkah hidup selepas pemergian ayahku sepuluh tahun yang lalu.
“Maaflah, saya kena balik sekarang. Nak bantu ibu jual kuih di kampung jiran,” balasku. Wajah kawan-kawanku mengukirkan ayat kekecewaan. Namun apakah dayaku. Selaku anak sulung, sudah menjadi tanggungjawabku terhadap keluarga. Selepas mengucapkan selamat tinggal, aku beredar menuju ke bangsal basikal, mendapatkan basikal usangku. Tubuhnya sudah dihuni karat, namun itulah hakikatnya; aku tidak mampu membeli basikal yang baru. Aku mula mengayuhnya, perlahan-lahan, seperti saban hari yang aku lalui. Tidak pernah aku mengadu tentangnya yang sudah terukir sebagai suratan takdir. Namun cuaca hari ini yang mendung menyelesakan perjalananku. Alangkah baiknya jika setiap hari pun begitu. Masa bersilih ganti, tanpa disedari, aku sampai ke rumah setingganku. Ibu kini sudah menanti di pintu rumah, risau rasanya.
“Eh, lambatnya hari ini,” katanya. Percakapannya yang laju jelas menunjukkan ibu sedang risau tentang diriku. Entahlah, barangkali kerana baru-baru ini, berlaku banyak kemalangan di sekitar kawasan ini.
“Tak adalah, cuma berbual sebentar dengan kawan di sekolah,” balasku. Selepas menjamah makanan tengah hari, aku mengambil sebuah bakul rotan yang penuh dengan kuih-muih beraneka jenis. Semuanya untuk dijual di kampung jiran. Sekali lagi, aku menunggang basikal using yang telah menjadi teman sedekad lamanya untuk menambah sedikit pendapatan ibuku. Pernah aku fikir untuk berhenti bersekolah, namun niat ini aku matikan dalam hati.
Seperti hari yang biasa, aku menggunakan jalan yang sama menuju ke destinasiku. Namun hari ini agak istimewa. Aku bertemu dengan Cikgu Ranjit dan kami berbual sebentar. Tidak pernah kusangka, Cikgu Ranjit memuji sikapku ini. Terasa bangga hatiku.
Tetapi entah mengapa, secara tiba-tiba kepalaku mula berasa pening. Badanku terasa lemah. Penglihatanku mulai kabur. Namaku dipanggil beberapa kali oleh cikgu namun suaranya semakin kurang jelas. Akibatnya, tubuhku jatuh ke muka Bumi. Aku pengsan.
No comments:
Post a Comment