Friday, August 26, 2011

Kesudahan yang Menyedihkan - Part 2 - Kesalan

Aku membuka mataku,perlahan-lahan,sambil memandang ke arah sekelilingku. Ya, tidak syak lagi, hospital! Aku mendapatkan selipar lamaku yang diletakkan di bawah katil, berjalan keluar dari bilik tersebut. Di sebalik pintu wad ini, aku mendapati namaku disebut beberapa kali. Aku meneliti perbualan mereka, mengintai di sebalik cermin pintu tersebut. Seorang doktor, Cikgu Ranjit dan ibuku sedang membincangkan sesuatu. Ya Tuhanku! Tumor dalam otakku? Tak mungkin! Ibuku menangis, tidak lagi mampu menahan perasaan yang dipendamnya. Daun pintu ditolakku, segera keluar, berlari memeluk ibuku. Aku meminta perkara ini dirahsiakan. Aku tidak ingin ada seorang insan lagi yang risau tentang diriku. Cikgu Ranjit pula berjanji untuk membiayai sebahagiaan kos pembedahanku. Terima kasih, cikgu! Aku akan lebih menghargai saki-baki hidupku mulai hari ini.

Kini, aku perlu membuat satu keputusan yang paling sukar dalam hidupku. Satu keputusan yang akan mengubah segala-galanya. Pembedahanku hanya dapat mengambil tempatnya ketika STPM berlangsung. Aku berasa serba-salah; peperangan yang manakah aku patut abaikan? Kata doktor, pembedahanku akan mempunyai risiko yang tinggi jika dibuat selepas STPM. Puas aku berfikir seorang diri, meraba-raba jawapan dalam sel-sel otakku. Akhirnya, aku telah memdapat jawapannya. Ya, aku mengambil keputusan untuk berhadapan dengan STPM dahulu. Sekurang-kurangnya jika aku akan gagal mengharungi pembedahanku, aku tidak mempunyai sebarang kesalan. Namun jauh dalam sanubariku, satu persoalan telah timbul. Apakah Tuhan sedang mempermainkan aku? Tiada jawapan yang dapat diberikan.

Pada keesokan harinya, aku pergi ke sekolah, seperti saban hari aku melaluinya. Belajar, mengulangkaji, berbual-bual dengan rakan. Mungkin saat ini tidak akan berulang selepas aku menjalankan pembedahan. Detik-detik seumpama ini seharusnya aku hargai sekarang. Aku sedar, sekurang-kurangnya aku harus memberikan apa-apa alasan tentang ketiadaanku selepas STPM. John, Ric dan Jes sudah mempunyai rancangan yang melibatkan diriku selepas peperiksaan. Namun, aku terpaksa menarik diri. Aku masih mempunyai satu lagi musuh yang perlu aku hadapi, yang perlu aku perangi. Kawan-kawan inilah yang paling rapat denganku. Jika boleh, aku tidak ingin mengecewakan hasrat mereka. Namun, apakah dayaku untuk menentang ujian yang diberikan-Nya?

“Yo gang, lepas sekolah aku belanja makan,” ajakku. Mereka kelihatan terkejut. Maklumlah, aku jarang keluar makan bersama mereka apatah lagi belanja makan. Mereka tersenyum, mengangguk kepala tanda setuju. Hatiku lega. Jauh di dalam hatiku, aku berjanji untuk memberikan satu penjelasan kepada mereka. Alasan yang tidak membuatkan mereka risau. Loceng yang terakhir akhirnya bermaharaja lela. Kini, kami berempat berada di kantin, menikmati makanan sambil berbual kosong, berketawa riang. Masing-masing sungguh berselera, barangkali tidak jika kebenaran diketahui mereka. Akhirnya, aku memberanikan diri untuk menyatakan alasan yang berjaya kufikirkan setelah letih memulas kepalaku.

“Er, gang, sebenarnya selepas STPM, saya kena pergi ke Kualang untuk bekerja so saya tak dapat nak join rancangan you all, sorry ya,” kataku. Aku cuba mengukirkan satu senyuman, namun wajah kekecewaan lagi terkejut kawanku melunturkan kekuatanku. Pelbagai soalan yang diajukan. Aku menjawab setiap satunya dengan berhati-hati, agar perkara sebenar tidak akan terbocor secara tidak langsung. Maafkan aku, semua.

Seperti hari-hari yang biasa, aku perfi ke kampung jiran untuk menjual kuih-muih. Walaupun ibuku melarang aku untuk bergerak sebarangan namun aku bertegas. Duit hasil jualan ini dapat digunakan untuk membiayai kos pembedahanku, walaupun tidak seberapa. Meskipun Cikgu Ranjit sudi menghulurkan bantuan, namun aku tidak ingin mengharapkan bantuan beliau sepenuhnya. Biarpun cikgu akan membiayai sepenuhnya kos pembedahanku, sekurang-kurangnya duit ini akan digunakan untuk membayar budi baik cikgu, walaupun jumlahnya tidak besar.

Selang beberapa hari kemudian, aku menerima sepucuk surat daripada Jes. Ganjil. Mengapakah dia tidak berjumpa terus denganku tetapi menghantar surat? Tanpa berfikir panjang, aku membuka sampul surat tersebut dengan berhati-hati. Isinya kukeluarkan. Setiap patah perkataan kuteliti satu per satu. Oh Tuhanku! Jes melafazkan isi hatinya kepadaku. Katanya, dia akan menungguku di kedai makan yang terletak di hapadan sekolah. Sekali lagi, aku berasa serba salah. Apakah yang patut kulakukan? Berjumpa dengannya? Menjelaskan perkara yang sebenar? Atau mengecewakan hatinya? Aku keliru, apakah aku sedang dipermainkan? Aku hanya dapat membuat keputusan yang sukar lagi wajar, aku mengambil keputusan untuk tidak berjumpa dengannya. Mungkin keputusan ini agak teruk sebagai seorang lelaki dan akan mengecewakan hati Jes, tetapi adalah baik jika dia tidak mengetahui perkara yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment