Tetapi, keputusan aku ini memang tepat. Segalanya sudah terjawab dengan kehadiran lelaki tersebut. Tiada lagi keraguan yang bermain dalam otakku kini. Ternyata aku tidak bersalah dalam hal ini. Dan apa yang lebih penting, aku tidak memerlukan sebarang alasan daripada Apple. Tanpa mempedulikannya, aku terus memecut laju meninggalkan rumahnya. Aku terus pulang ke rumahku, menghidupkan radio dan memainkan lagu-lagu yang boleh menenangkan perasaanku, sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hati yang terluka ini. Aku duduk termenung di atas sofa merahku.
Mengapa aku terpaksa menerima nasib sebegini? Apakah cinta sejati sukar ditemui? Apakah salahku sehingga dia melayan aku sebegini? Jika hari ini aku dikecewakan kerana kehadiran pihak ketiga, bagaimana pula dengan pada masa hadapan? Apakah aku mampu mendapat keberanian untuk bercinta lagi? Mengapa dia harus melayan aku seperti ini? Mengapa? Kenapa? Terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab. Fikiran aku bercelaru.
“Ding!!Dong!!” loceng rumahku menjerit, mengejutkan diriku yang tenggelam dalam lamunan ini. Siapakah yang datang pada saat-saat ini? Apple? Aku bangun dan mendapatkan jawapannya.
DUM!! Satu tumbukan api kemarahan menghinggap di pipiku. Aku terus terduduk, bersandar pada almari yang berada di tepi. Sakit, malah darah juga mengalir keluar dari bibirku. Tangan kiriku menyentuh bahagian pipiku yang ditumbuk. Bengkak. Aku pun melihat siapakah orangnya. Lelaki yang berambut panjang yang bersama Apple? Aku tidak faham apa maksud semua ini. Aku sudah keliru. Kini, dia berdiri betul-betul di hadapan aku.
“Cis, tak guna! Awak sudah merampasnya daripada tanganku dan kini awak melayannya endah tak endah. Dan sekarang awak ingin berpisah dengan dia? Awak ingat Apple ialah alat mainan awak yang boleh dibuang apabila awak sudah jemu? Saya tidak faham apa kelebihan awak yang memikat hatinya,” marah dia. Aku pula tidak faham sepatah ayat pun yang dikatakannya. Kedua-dua tangannya mencapai kolar bajuku, menggenggam dengan kuat. “Sekarang dia sangat sedih atas tindakan awak yang bodoh ini,” sambungnya.
“BERHENTI!” suara Apple muncul di sebalik kekacauan yang timbul. Dia berdiri di belakang lelaki tersebut. “Hentikan perangai bodoh awak, Rex! Jangan pukul dia lagi,” sambung Apple. Rex? Ya, aku sudah ingat. Bekas kekasih Apple juga bernama Rex. Apakah dialah orangnya? Keadaan sudah bertambah kusut. Aku menjadi semakin keliru. Apakah makna semua ini?
“Mengapa awak masih bersikap seperti dulu? Masih tidak berubah. Saya sudah cakap, semua ini adalah berpunca daripada saya sendiri, bukan Win. Win tidak mempunyai sebarang kaitan dalam hal ini. Dan awak pula sepatutnya pergi dari sini dan jangan mengganggu saya lagi. Awak juga yang cakap, kita akan menjadi kawan baik sahaja tetapi sebenarnya awak masih belum dapat melepaskan segalanya. Awaklah punca semua ini, Rex! Cinta kita sudah berakhir. Jika Win ingin berpisah dengan saya, saya juga tidak akan kembali ke sisi awak,” kata Apple. Kata-katanya tegas.
Rex mula melepaskan genggaman tangannya. “Baik, saya sudah faham. Kalau kebahagiaan inilah yang awak maksudkan, semoga bahagia,” katanya. Dia terus melangkah keluar dari rumah ini, meninggalkan kita berdua. Suasana menjadi tegang. Masing-masing tidak bercakap. Apple memandang aku, tetapi aku tidak membalasnya. Aku memandang ke arah bawah. Aku tidak mempunyai alasan untuk memandang Apple. Aku sedar, matanya sedang menahan titisan air daripada mengalir namun dia gagal menahan perasaannya. Kini, titian cahaya kian menyinari manik putih berair yang mengalir membasahi kulit pipi Apple. Dia segera mendapatkan aku, memelukku.
Apakah aku sudah tersilap dalam perhitungan ini? Apakah pihak ketiga dalam cerita ini adalah aku sebenarnya? Apakah semua ini adalah lakonan semata-mata untuk mengaburi mataku? Apakah maksud semua ini? Aku tidak ingin memikirkannya lagi. Aku sudah sangat letih dengan semua ini. Apakah yang akan berlaku selepas ini? Tiada sesiapa pun tahu akan jawapannya, Tuhan yang maha esa sahaja yang dapat menjawabnya. Sinaran bulan purnama kian menyerlahkan kepiluan hati dua orang insan yang telah dilukai ini.
Segalanya masih tepu dengan persoalan.
No comments:
Post a Comment