Perasaan Jes mungkin sedih bercampur marah, fikirku. Sepanjang hari ini di sekolah, dia tidak pernah mengeluarkan sepatah ayat pun dari mulutnya. Dia juga tidak bercakap denganku. Namun, aku mengerti. Tindakanku kelmarin mungkin meninggalkan kesan yang mendalam, namun itulah pendirianku. Aku cuma berharap api kemarahan yang membara dalam hatinya akan reda dan memaafkan tindakanku. Aku tidak berharap aku akan kehilangan seorang kawan yang penting dalam hidupku. Tiba-tiba, John dan Ric datang menghampiri aku. Mereka berkata mereka ingin mengadakan majlis perpisahan untukku selepas STPM memandangkan aku seorang sahaja yang tidak menyertai rancangan mereka. Walaupun aku membantah keras, namun aku tidak mampu untuk melawan niat baik kedua-dua kawanku ini. Aku mengangguk tanda setuju.
Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu kini sudah tiba. Pelajar-pelajar SMK Pantai Cahaya mula menunjukkan kerenah masing-masing. Ada yang menggigit jari, ada yang berdoa, ada yang membelek muka surat demi muka surat. Aku hanya terduduk di tepi pintu dewan sekolah itu. Tenang, tanpa sebarang gangguan. Namun, soalan yang sedang bermain di otak fikiran aku adalah mudah; STPM atau penyakitku? Entah apakah yang lebih patut aku risaukan sekarang. Aku menghilangkan diri dalam lamunan aku itu.
“Janganlah risau, Win,” suara Jes membangunkanku daripada lamunan. Aku terkejut. Tangan kirinya menepuk bahuku, cuba menenangkan diriku agaknya. “Kamu pasti boleh mendapat result yang cemerlang dan membanggakan kami semua,” sambungnya lagi. Oh, terima kasih Jes! Walaupun aku telah melukakan hatimu, tetapi layananmu terhadapku masih tidak berubah. Aku berjanji tidak akan mengecewakan harapanmu, Jes. Kata-katamu cukup dijadi sumber pedoman untuk mengharungi hari-hari yang akan datang. Walau apapun, ini adalah pilihanku, keputusanku untuk menduduki peperiksaan sebelum menjalankan pembedahan yang berbahaya ini. Aku pasti akan dapat mengharungi kedua-dua dugaan ini.
STPM yang digeruni para pelajar tingkatan 6 SMK Pantai Cahaya akhirnya mengambil tempat. Setiap pelajar memerah jus otaknya untuk memikirkan jawapan kepada soalan yang ditanyakan. Semuanya sedar, musuh kali ini bukan calang-balang orangnya. Keputusannya bakal menentukan masa depan setiap insan di dalam dewan tersebut. Aku menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan tenang dan yakin, seakan-akan tiada soalan yang aku tidak tahu. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, akhirnya peperiksaan ini pun tamat. Wajah riang jelas terukir pada wajah setiap pelajar. Semuanya lega, peperangan ini telah berjaya diharungi.
Seperti yang dijanjikan John dan Ric, mereka mengadakan majlis perpisahan untukku. Rumah Ric yang menjadi rumah tumpuan rakan sekolah. Dialah yang menyediakan segala-galanya untukku. Aku berasa serba-salah. Patutkah aku berterus-terang? Ata uterus menyimpan rahsia yang membebani jiwaku selama ini? Sampai hatikah aku untuk terus menipu manusia yang bergelar sahabat ini? Tetapi, aku terpaksa bertindak kejam. Aku tidak ingin sesiapa pun yang risau. Aku berdiam diri sambil memandang ke arah wajah Jes. Sedih, aku fikir. Aku mengamati setiap wajah rakanku yang sudi hadir member muka, apatah lagi mungkin ini adalah kali terakhir aku bertemu dengan semua. Mungkin Tuhan tidak memberi aku peluang yang kedua untuk bertemu dengan mereka.
Akhirnya majlis ini pun berakhir. Semua rakan bergerak meninggalkan rumah Ric satu per satu. Kini, hanya tinggal John, Jes dan Ric. Perbualan masih diteruskan, rancak. Sekali-sekala aku melihat jam tanganku, meneliti pergerakan jarum saat yang membuat satu lokus bulatan. Kalau boleh, aku ingin membawa memori ini untuk menyertai peperanganku yang kedua. Sebuah memori yang terakhir bersama tiga sahabat karibku, barangkali. Jam menunjukkan pukul 6 petang. Matahari sudah mula berehat di sebalik bukit. Bulan purnama pula mula menunjukkan kecantikannya. Sayang, perbualan kami berempat terpaksa menabur tirai.
“Kawan-kawan, dah lewatlah. Saya kena balik sekarang. Nanti ibu risaulah,” kataku. Perlahan-lahan, aku mula bangun dari kerusi sofa yang selesa itu. Selangkah demi selangkah, aku mula beredar, menuju ke arah pintu di ruang tamu. Belum sempat aku menoleh untuk mengucapkan selamat tinggal, Jes merempuh ke arahku, dipeluknya, erat. Perasaannya sungguh selesa, tidak pernah aku mengalami keadaan sebegini. Tanpa disedari, air membanjiri mataku. Barangkali habuk memasuki mataku. Aku cuba menahannya. Jes, John, Ric. Maafkanlah aku. Aku akan menghargai persahabatan kami berempat. Selamanya.
Kini, aku berada di Hospital Pantai Cahaya. Terlantar di atas katil pesakit. Kawan-kawanku yang lain mesti menyangka aku berada dalam perjalanan ke rantau orang. Aku tidak dapat membuat apa-apa, cuma menunggu masa. Ganjil, perasaan takut kini mula menyelebungi seluruh badanku. Pintu wad ditolak. Seorang jururawat melangkah masuk. Picagari yang dipenuhi cecair lutsinar dipegangnya. Jarum yang tajam disuntik ke lengan kiriku, cecair tersebut kini menyebur masuk ke dalam badanku. Sakit, tetapi untuk sementara sahaja. Entah mengapa, aku mulai berasa letih. Mataku semakin berat. Beberapa orang jururawat datang kemudian dan menolak katilku keluar. Dalam perjalanan aku itu, aku dapat melihat ibuku, adikku dan Cikgu Ranjit. Namun, penglihatanku samar-samar, tidak jelas. Ingin juga aku berkata, tetapi tidak terdaya. Aku memejamkan mataku, menyerahkan kesemuanya kepada Tuhan.
No comments:
Post a Comment