Thursday, August 25, 2011

Pihak Ketiga - Part 1 - Persoalan

Aku rasa kepercayaan diriku terhadap dirinya semakin hari semakin menipis. Dalam tempoh tiga bulan kami bersama, aku tidak pasti jika aku betul-betul sudah mengenali dirinya. Aku gagal untuk mencari dirinya yang sebenarnya. Sekurang-kurangnya diriku mengetahui fakta ini lebih jelas daripada orang lain. Malah, semakin aku cuba untuk memahami dirinya, semakin bersarang rasa curiga dalam sanubari. Mungkin aku sendiri yang sibuk bekerja sehingga tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu janji dengannya. Jarak antara kami bagai semakin jauh sehari demi sehari. Selama ini, panggilan telefon dan SMS-lah yang menjadi jambatan komunikasi di saban hari.

Kebelakangan ini, kawan-kawan aku asyik memberitahu aku Apple selalu keluar dengan seorang lelaki yang berambut panjang. Aku menenteramkan hatiku, kawan lama dia jawapan yang kuberi untuk menyejukkan hati yang panas berbara setiap kali kawan-kawan berkata demikian. Namun jawapan yang seteguh dinding juga runtuh akhirnya. Pada hari itu, aku terserempak Apple bersama dengan lelaki tersebut. Malah mereka kelihatan seperti pasangan, bagai pinang dibelah dua. Hati aku bergoncang. Hal ini jelas memberitahu aku wujudnya pihak ketiga dalam hubungan kami.

Aku bukan seorang yang bacul. Aku juga bukannya orang yang sanggup membiarkan sesuatu keadaan berlarutan dan akhirnya melukakan diriku suatu hari nanti. Puas aku mencari jalan penyelesaian yang terbaik, namun berpisah tetap jawapan yang terbaik yang aku mampu carikan. Akhirnya, aku mengambil keputusan yang tersebut. Aku mengajaknya keluar, membawanya ke sebuah tempat yang memulakan sebuah kisah baru dalam hidupku.

“Eh, Win! Awak kata ada sesuatu yang penting nak beritahu saya, mengapa awak diam saja sejak tadi?” tegur Apple. Kereta Kancil berwarna putih yang dipandu oleh aku dihentikan sebatang tiang yang menunjukkan warna merah. Lampu isyarat inilah yang memulakan perbualan kami setelah sekian lama tidak bersua.

“Kita hanya berpeluang untuk berjumpa seminggu sekali, kalau tak nak macam itu boleh tak?” tanyaku. Aku hanya tersenyum dalam hatiku. Bagi diriku, jangan kata berjumpa sebulan sekali, kalau terus tidak berhubung juga tidak bermasalah apatah lagi kini Apple sudah mempunyai lelaki yang boleh menemannya, yang boleh menggantikan diriku ini pada bila-bila masa sahaja.

“Awak faham maksud ….”

“Ah! Lampu hijau!” Apple mencelah. Seolah-oleh dia sedang cuba untuk mengelak soalan aku. Aku pun menekan minyak dan memecutkan keretaku menuju ke destinasi aku. Pelbagai persoalan sedang bermain di dalam kepalaku. Riak mukanya, sikapnya yang dingin, seperti cuba menyakinkan tindakan yang bakal diambilku adalah tepat. Ya! Aku sudah mengambil keputusan. Tiada lagi keraguan. Tiada lagi kebimbangan. Aku juga tidak perlu membazirkan masa untuk berbincang dengannya tentang hal ini. Perbincangan sedemikian hanya akan menyakitkan hati. Kedua-dua pihak juga tidak akan mendapat manfaat.

Kereta Kancil ini terus menuju ke sebuah lokasi yang menyatukan mereka berdua pada tiga bulan yang lalu. Sepanjang perjalanan, kami berdua hanya mendiamkan diri. Hanya bunyi-bunyi kenderaan yang lain yang menjadi irama kesunyian dalam keretaku. Selepas seketika, kami pun tiba di destinasi tersebut. Enjin kereta dimatikan. Aku mula melangkah keluar dari kereta ini, Apple juga mengikut.

No comments:

Post a Comment