Thursday, August 25, 2011

Pihak Ketiga - Part 2 - Penyelesaian

Angin bayu bertiup lembut. Bunyi ombak cukup mengasyikkan, memukul butiran pasir di tebing pantai, seperti membentuk suatu melodi yang merdu dan menenangkan hati yang krunsingan. Sekawan burung lelayang pula berterbangan bebas di langit. Tetapi, sekarang bukan masa bagiku untuk bersuka ria mahupun menikmati pagi yang indah ini. Aku memandang terus ke depan, laut yang terbentang luas. Laut yang kelihatan tiada penghujungnya, aku mengharapkan hubungan aku dan Apple juga begitu pada awalnya. Pantai inilah yang menjadi tempat luahan cintaku pada Apple. Pantai ini juga menjadi tempat Apple menerima aku dalam hidupnya. Namun, pantai ini juga menjadi tempat terakhir kunjungan kami berdua. Aku tidak pasti jika kami akan bertemu lagi pada masa kelak. Apakah dayaku jika kaca sudah terhempas, hancur dan berkecai.

Selama ini aku dambakannya, ingin bersama dengannya menghitung hari, tetapi pada hari ini, kecurangan menghancurkan segalanya. Harapan. Kepercayaan. Tangan Apple bergerak perlahan, menyentuh hujung jariku. Tetapi, aku hanya sekadar mengelak sentuhannya.

“Mungkin selama ini awak ada sesuatu yang disimpan dalam hati tetapi awak tidak sanggup untuk meluahkannya, sekaranglah masanya. Jika awak rasa kami tidak serasi, beritahu saya sahaja. Saya tak nak memaksa awak. Saya pun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” kataku padanya. Mataku memandang tajam pada matanya. Apple tidak terkata, dia hanya memandang aku, seperti bagaimana aku memandangnya sekarang. Mungkin kata-kata yang ingin diluahkan tidak kesampaian. Barangkali kata-kataku menusuk tepat pada hatinya.

“Baiklah, saya sudah faham. Biar saya hantar awak balik,” aku berpaling, dan berjalan menuju ke arah kereta Kancilku. Mungkin tindakan aku ini melukakan hatinya, namun apakah dayaku untuk mengubah segalanya. Pendirian hendaklah ditegaskan. Jika pendirianku bergoyah, akulah orang yang terluka hatinya kelak. Namun aku tidak pernah menyangka, aku akan mengalami kesudahan seperti ini. Kini, kereta ini bergerak, mengikut jalan yang digunakan tadi, cuma arah yang bertentangan. Sekali lagi, suasana sunyi menjadi pengisi masa. Aku tidak tahu apa yang patut aku katakan, mungkin situasi yang sama melanda Apple. Tanpa disedari, masa telah mencuri segalanya. Kereta aku kini berhenti di depan rumah banglo Apple.

“Apple...entahlah, saya pun tidak tahu hendak bermula dari mana, tetapi apabila sampai ke situasi seperti ini, saya rasa saya terpaksa berterus-terang dengan awak. Saya mengaku saya sudah jatuh cinta dengan awak ketika kita bertemu buat kali pertama. Tetapi semakin lama saya mengenali awak, semakin saya sedar bahawa kita berdua adalah manusia dari dunia yang berbeza. Saya rasa saya perlu menyusun memoriku supaya saya jelas tentang apa yang saya inginkan sebenarnya dan hal ini mungkin mengambil masa yang panjang,” kataku padanya. Aku sendiri tidak pasti dari manakah aku mendapat keberanian untuk mengeluarkan kata-kata ini.

“Cukup, jangan cakap lagi, kita berbincang pada hari yang lain. Awak tidak perlu menghantar saya masuk,” celahnya sebelumku sempat menghabiskan kata-kataku. Tegar kata-katanya. Apple langsung tidak berpaling ke arahku ketika melangkah masuk ke dalam laman rumahnya. Beginikah kesudahannya? Beginikah pengakhirannya? Aku hanya dapat memandangnya dari dalam kereta ini. Dari sini, aku dapat melihat seorang lelaki sedang berdiri di depan pintu rumahnya. Ya, dialah lelaki yang berambut panjang tersebut! Apple menoleh ke arahku, seolah-olah ingin segera mendapatkanku, menjelaskan perkara yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment